ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Monday, January 10, 2011

Pengumuman 10 Januari 2011

Telemaklumat PERTIS (10 Januari 2011)

Inilah telemaklumat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), membawakan pengumuman untuk anda bagi minggu yang bermula pada 10 Januari 2011, bersamaan dengan 5 Safar 1432 Hijrah.

1. PELUANG DAN GERAI PERNIAGAAN PASAR TANI FAMA

Sukacita dimaklum dan diwar-warkan bahawa Lembaga Pertanian dan Pemasaran Malaysia (FAMA) telah besetuju memperuntukkan gerai pasar tani kepada mana-mana OKU Penglihatan, khususnya ahli-ahli PERTIS yang berminat untuk berniaga. Anda boleh menjalankan apa saja bentuk perniagaan seperti mengurut, menjual barangan termasuklah bermain muzik di pasar tani tersebut. Borang boleh diperolehi daripada Ibu Pejabat PERTIS Malaysia. Borang-borang yang telah dilengkapkan perlu dikembalikan dengan kadar segera ke Ibu Pejabat PERTIS Malaysia bagi urusan dan tindakan pihak FAMA selanjutnya. Sekiranya permohonan anda berjaya, barulah anda akan dimaklumkan tentang jumlah bayaran terlibat. Kepada mana-mana ahli yang berminat atau sebarang pertanyaan, bolehlah menghuibungi En. Cr. Mohd Hafiz bin Halim, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PERTIS Malaysia di talian, 013-340 0155.

2. MAJLIS BACAAN DOA SELAMAT DAN TAHLIL PERTIS

Ustaz Mohd Hairie bin Aris, Naib Pengerusi PERTIS Wilayah Negeri Sembilan Darul Khusus ingin menjemput semua ahli dan bukan ahli PERTIS ke majlis tersebut di atas pada hari Khamis, 8 Safar 1432 Hijrah bersamaan 13 Januari 2011 bertempat di Surau MAB bermula selepas Solat Fardhu Maghrib. Pada majlis yang sama, Biro Kebajikan dan Khidmat Komuniti PERTIS akan turut mengadakan bacaan Yasin dan Tahlil bagi 2 orang ahli PERTIS Wilayah yang telah kembali ke Rahmatullah. Dalam hal ini, penyertaan daripada ahli atau bukan ahli Persatuan yang mempunyai hajat-hajat tertentu juga amatlah dialu-alukan. Sebarang pertanyaan atau sumbangan bolehlah disalurkan kepada Ustaz Mohd Nasir, Pengerusi Biro di talian, 019-394 1441.

3. AKTIVITI DERMA DARAH

Biro Kebajikan dan Khidmat Komuniti PERTIS Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Pusat Darah Negara akan menganjurkan aktiviti tersebut di atas pada hari Sabtu, 16 Rabi’ul Awwal 1432 Hijrah bersamaan 19 Februari 2011, bermula jam 9.00 pagi hingga jam 1.00 tengah hari bertempat di Dewan Utama MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Sokongan moral dan dokongan padu daripada semua ahli atau bukan ahli Persatuan termasuklah kalangan OKU Penglihatan yang bukan beragama Islam serta sanak famili masing-masing amatlah dialu-alukan untuk menyertai program murni ini. Ambil maklum bahawa Pusat Darah Negara Cuma akan datang ke lokasi aktiviti sekiranya bilangan penderma melebihi 30 orang. Bagi maksud pendaftaran atau pertanyaan, sila berhubung dengan Ustaz Mohd Nasir bin Haji Mohamed Yusoff, Pengerusi Biro di talian, 019-394 1441. Pendaftaran melalui perkhidmatan SMS turut dialu-alukan. Ingatlah bahawa ”setitis darah yang didermakan mampu menyelamatkan sejuta nyawa; seribu dalih dan helah bisa membunuh sejuta insan”.

4. BERITA DARIPADA IBU PEJABAT PERTIS

4.1. Adalah diwar-warkan juga bahawa giliran bertugas pada hari Sabtu di kalangan para Pembantu Tadbir Hal Ehwal Ibu Pejabat PERTIS Malaysia telah dimansuhkan bermula 12 Muharram 1432 Hijrah bersamaan 18 Disember 2010. Sementara itu berkuatkuasa pada 28 Muharram 1432 Hijrah bersamaan 3 Januari 2011, Ibu Pejabat PERTIS Malaysia akan beroperasi di antara jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang, hari Isnin hingga hari Jumaat. Justeru, para ahli dan bukan ahli PERTIS adalah dikehendaki untuk menyelesaikan segala urusan rasmi pada waktu dan hari yang ditetapkan.

4.2. Adalah diwar-warkan bahawa pembayaran yuran tahunan bagi tahun 2011 Masihi telah dibuka. Sebagai rujukan, kadar yuran tahunan bagi Ahli Biasa ialah RM6.00 seorang, Ahli Bersekutu RM3.00 seorang dan ahli tanggungan RM1,00 seorang. Semua ahli Persatuan adalah dinasihatkan untuk menjelaskan bayaran yuran semasa atau melangsaikan sebarang yuran tertunggak sebelum atau pada 28 Rejab 1432 Hijrah bersamaan 30 Jun 2011. Bayaran yuran dalam tempoh berkaitan adalah prasyarat layak menyertai sebarang aktiviti yang terhad atau yang memerlukan pendaftaran termasuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan serta pemberian sebarang bantuan terlibat.

5. PENGUMUMAN DARIPADA PERTIS WILAYAH

5.1. Dimaklumkan bahawa beberapa orang ahli PERTIS Wilayah Kedah/Perlis turut terlibat sebagai mangsa banjir besar yang melandan Negeri Kedah Darul Aman serta Perlis Indera Kayangan baru-baru ini. Mereka telah ditimpa musibah dahsyat yang menyumbang kepada kerugian yang agak besar termasuk kemusnahan harta-benda serta kehilangan sumber pencarian nafkah yang banyak akibat bakul yang telah siap juga rotan yang dihanyutkan arus deras banjir. Bahkan, ada kalangan mangsa banjir ahli PERTIS bverkenaan tinggal sehelai sepinggang. Justeru atas nama saudara muslim, rakan senasib OKU Penglihatan dan semangat satu PERTIS, PERTIS Wilayah Kedah/Perlis merayu sumbangan derma daripada seluruh ahli PERTIS mahupun semua pemantau ke telemaklumat ini. Segala sumbangan derma atau sebarang pertanyaan, bolehlah disalurkan kepada En. Zamzuri bin Ghani, Bendahari Kehormat Merangkap Penyelaras PERTIS Wilayah Kedah di talian, 019-386 9700 atau En. Musa bin Abd. Rahman, Pengerusi PERTIS Wilayah Kedah di talian, 012-584 0124.

5.2. Berikut diwar-warkan aktiviti PERTIS Terengganu:
10 Januari: Kursus membuat roti canai;
13-15 Januari: Kursus refleksologi dengan kerjasama daripada Koperasi Peka.

5.3. Dengan penuh dukacita dan sedih dimaklumkan bahawa Encik Hussin bin Yaacob, Ahli Bersekutu PERTIS Wilayah Terengganu Darul Iman dan Encik Mohd Anuar Fazal bin Zukri, Ahli Biasa PERTIS Wilayah Kelantan Darul Naim telah kembali ke Rahmatullah. Justeru, seluruh saf kepimpinan dan ahli-ahli PERTIS ingin merakamkan ucapan takziah bersama harapan agar sanak famili terlibat akan tabah juga sabar dalam menghadapi musibah serta ujian Allah S.W.T. ini. Adalah didoakan supaya roh-roh mereka akan dicucuri rahmat berkekalan dan ditempatkan dalam kalangan insan-insan solehin. Dengan penuh rasa keinsafan, pengiktibaran dan ukhuwah Muslimin berpanjangan, marilah kita sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada arwah-arwah yang dinyatakan tadi “Al-Fatihah”.


Diselaraskan oleh,


(Zakaria bin Yahya)
Yang Dipertua PERTIS Pusat.

Wednesday, January 5, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2011

Assalammualaikum.

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini akan memberi kita semangat untuk maju hadapan. Buangkan sifat-sifat yang negatif dalam diri kita dan tambahkan dengan sifat positif.